Belajar Islam Daripada Rasulullah SAW

 

 

Tadi saya hantar assignment Islamic Teacher Education Program minggu keempat. Semasa menyiapkannya, saya mendengar penjelasan Dr. Seymour Epstein bahawa dalam sekolah agama versi Yahudi, tidak wujud apa yang dinamakan sebagai ‘Jewish Pedagogy’. Saya dikehendaki menghuraikan bagaimana boleh wujud apa yang dikatakan sebagai Islamic / Prophetic Pedagogy. Semasa inilah saya terfikirkan persoalan yang hendak ditanya ini.

Kalau kita baca hadith-hadith Nabi SAW, Baginda amat-amat sedikit menggunakan bahasa Fiqh. Maksud saya, dalam perbualan baginda dengan sahabat, sukar sekali hendak bertemu dengan dialog “dalam hal ini, hukumnya ialah” atau pun sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah hukumnya…” Kebanyakan ayat dialog antara Baginda dengan sahabat adalah ayat-ayat biasa di dalam ‘kelas’ seperti “hendaklah kamu, lebih baik bagi kamu, janganlah, tidak mengapa” dan yang seumpama dengannya.

Hadith-hadith ini kemudiannya menjadi rujukan Ulama untuk memformulakan Fiqh, agar agama Islam jadi sistematik, boleh diajar dan dipelajari dan ia berkembang menjadi satu gagasan ilmu yang luar biasa.

Tetapi…

Apakah implikasinya jika kita belajar agama dengan bahasa Fiqh berbanding belajar agama dengan bahasa ‘hadith, sebelum hadith menjadi dalil Fiqh”? Apa yang tercicir, apa yang bertambah, jika semasa mengajar seseorang beribadah, kita menggunakan bahasa galakan, berbanding dengan menggunakan bahasa hukum?

Ada beberapa persoalan lain menyusul, tapi saya simpan dulu dan cari-cari jawapan sendiri, dan jika tak dapat, atau ada sempena yang sesuai, saya kongsikan lagi.

Ada ke sahabat-sahabat yang pernah fikirkan hal ini? Adakah sahabat-sahabat yang boleh bantu berkongsi pendapat?

Show CommentsClose Comments

3 Comments

  • Muhammad Ooi
    Posted January 11, 2015 at 2:04 am 0Likes

    Antara perkara yang saya fikirkan, bagaimana satu mazhab dengan satu mazhab yang lain boleh kemukakan hukum berbeza. Hukum berbeza yang membawa maksud, satu dapat pahala dan satu lagi tak dapat pahala. Sedangkan Allah yang berikan pahala. Semacam manusia yang menentukan itu dan ini dapat pahala atau berdosa.

    Begitu juga, saya yakin zaman sahabat bersama Nabi Muhammad s.a.w tidak belajar ilmu Sifat 20 yang berat untuk difahami. Tauhid mereka utuh dengan kefahaman mantap. Saya tidak gemar mempelajari agama melalui sifat 20, ianya ‘meletihkan’. Saya tak rasa agama Islam dipersembahkan dengan begitu sukar untuk manusia.

    Walaupun generasi dahulu dan kini ( barangkali ) mempelajari agama sifat 20, masih ramai yang melakukan perbuatan yang tak seiring dengan tauhid, malah golongan lepasan pendidikan agama pun mengamalkannya.

    Saya pernah jumpa orang yang mengaku guru Quran tetapi anak kecilnya dipakaikan tangkal.

  • Nur
    Posted January 19, 2015 at 2:06 am 0Likes

    Salam Ustaz,

    Saya tertarik untuk berkongsi sedikit pendapat tentang isu ini, banyak yang saya perhatikan, selepas ceramah – ceramah, ramai yang bertanya “Apa hukumnya ustaz sekiranya suami saya… atau sekiranya jiran saya….” Sangat tidak adil untuk menilai seikranya saya tidak kenal yang bertanya secara peribadi. Tapi, ada dikalangan meraka yang suka bertanya begini yang rapat dan saya kenal secara peribadi orang yang bertanya soalan sedemikian, sesetengahnya bertujuan untuk mendapat jalan mudah dan tidak mahu mencari penyelesaian alternatif atau dengan kata lain, ‘berfikir’. Ada sesetengah menggunakan perkataan hukum yang diambil dari sesetengah penceramah di luar dari konteks asal hanya untuk tujuan berhujah.

    Dalam contoh yang lain, sejujurnya saya juga masih mula serius mendalami islam secara bersistem. Saya pernah bertanya kepada seorang ustazah dari ‘ British Muslim Society” di UK berkenaan dengan sedikit kekeliruan saya tentang aqidah. Saya mengumpul kekuatan untuk bertanya soalan berkenaan kerana pernah dihembur dengan ‘istighfar’ dan pandagan serong sesetengah pendidik di Malaysia dahulu. Dan saya percaya itu bukan perkara yang hanya dilakukan pendidik di Malaysia. Namun, saya ambil risiko juga untuk bertanya memandangkan saya hanya akan berada di UK 3 tahun dan paling teruk kena kritikan pun tidaklah lama mana atau sekiranya teruk, saya boleh sahaja meninggalkan halaqah berkenaan.
    Alhamdulillah, saya mendapat respon yang sangat baik, moga Allah SWT merahmati guru berkenaan. Apa yang boleh saya katakan, galakan adalah cara yang lebih baik setakat pengetahuan saya sebagai orang bukan bidang agama. Secara ringkasnya, saya bertanya tentang aqidah, dan mereka juga ajarkan saya adab ‘prophetic way’.

    Wallahualam

  • Farid
    Posted February 16, 2015 at 4:50 pm 0Likes

    Assalamualaikum Ustaz, pada pendapat saya hal ini ada bekaitan dengan suasana, keadaan atau ‘setting’ di mana Rasulullah s.a.w mengajar para sahabat. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Rasulullah s.a.w bertemu para sahabat sehari-harian, sama ada mengajar di masjid, terserempak di pasar, melawat rumah dan sebagainya. Jauh daripada situasi sekarang, ilmu itu diajar pada waktu bilamana ia diperlukan, disertai dengan elemen manusiawi (adab ketika mengajar) sama ada dalam keadaan formal (di masjid) atau tidak formal (dalam perjalanan, pasar dsb).

    Saya bukan alim dalam bidang2 ini. Pada pendapat saya bahasa galakan lebih sesuai daripada bahasa hukum dalam sesetengah perkara. Dalam perkara asas Islam dan fiqh berkaitan, saya akan menggunakan bahasa galakan kerana saya hendakkan pendengar mengamalkan ilmu itu sepanjang hayatnya. Jadi bahasa galakan lebih sesuai untuk menanam nilai pandang positif terhadap perkara asas tersebut dan melunakkan hati untuk mengamalkannya. Seterusnya ini diikuti dengan ulang kaji dan ‘feedback’ untuk mengukuhkan pemahaman sedia ada dan membetulkan apa yang tersilap faham.

    Mengikut pengalaman pembacaan saya, Rasulullah s.a.w lebih banyak menggunakan bahasa galakan daripada bahasa hukum. Saya rasa antara sebab kelemahan umat Islam dari segi penghayatan Islam adalah kerana terlebih penekanan ke atas bahasa hukum dalam pendidikan Islam di sekolah dan rumah berbanding bahasa galakan. Mungkin pada mereka yang belajar fiqh, bahasa hukum lebih sesuai dalam situasi pembelajaran. Namun apabila ianya hendak diterjemahkan kepada amalan, manusia harus diberitahu melalui bahasa galakan.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.