22Oct

Rombakan Sistem Mata Pelajaran

141022-transformasikmss

Berminggu-minggu kepala saya rasa nak pecah bermain dengan algorithm bagi merombak sistem pembelajaran di Khalifah Model School – Secondary. Tahun hadapan, pelajar akan diberikan sistem baru yang mana mereka akan memilih kelas mana mereka hendak masuk dan subjek mana mereka hendak ambil berdasarkan jadual subjek yang ditawarkan.

Khasiat sistem baru ini:

  1. Pelajar lebih rela belajar kerana subjek berkenaan adalah ‘pilihannya’
  2. Guru perlu menyediakan lesson plan yang lebih pendek (semester dan bukan lagi tahunan)
  3. Pelajar mempunyai ‘classmates’ yang berbeza-beza di dalam setiap subjek.
  4. Kelas 50 minit, manakala 10 minit adalah pergerakan pelajar berpindah kelas mengikut jadual masing-masing. Ia melegakan fizikal berbanding duduk pagi ke petang.
  5. Beban guru mengajar berkurang dan beban pelajar belajar berkurang. Kurang mengajar dan kurang belajar di dalam kelas, maka bertambahlah kualiti pendidikan!

Saya juga bertanggungjawab mencari solusi pada melatih guru untuk ditransformasi daripada teacher-centered education yang bergelumang dengan sikap essentialists dan perennialists yang meletihkan lagi tidak berkesan, kepada student-centered education yang progresif. Untuk itu perpustakaan mesti diperkasakan agar pelajar mempunyai bahan untuk merujuk. Alhamdulillah ada dermawan yang baru-baru ini mendermakan RM20K untuk kick off perpustakaan.

Sistem ini diharap mampu mempercepatkan penguasaan subjek dan jika ada pelajar yang hendak mengambil IGCSE pada tahun 2016 dan 2017, mereka bersedia, dan awal boleh mendudukinya. Bagi yang mahu mengambil SPM, ia hanya boleh diambil pada tahun 2017 dan dengan kefahaman yang kukuh, 8 bulan cukup untuk membuat persiapan. PT3 tidak diambil. Tetapi pelajar yang mahu mengambilnya, akan dibantu oleh pihak sekolah untuk mendaftarkan diri dengan Kementerian.

Pengajian dalam setahun akan dibahagikan kepada 2 semester panjang dan 1 semester pendek. Semasa semester pendek, pelajar akan diberi pilihan mengambil modul pertanian, perladangan, perniagaan, sains sukan, sejarawan (kajian arkib, kurator muzium, arkeologi) dan modul-modul lain yang dirasakan sesuai serta mampu.

Graduan KMSS mungkin keciciran keutamaan untuk terpilih menerima biasiswa JPA, MARA dan lain-lain bagi menyambung pengajian universiti. Insha-Allah kita akan meneroka peluang belajar yang tidak memerlukan JPA, MARA, PTPTN, dengan meninjau peluang-peluang pembelajaran percuma di Jerman, Austria, Finland , Turki dan yang murah seperti Indonesia, India dan Filipina. Mudah-mudahan saya dapat menggunakan secara optimum semua jaringan network persahabatan dan akademik yang ada pada masa ini untuk menjayakannya.

Ya Allah, bantulah jihad pendidikan kami ini, ameen.

Berdebar untuk membentangkan hal ini kepada Board of Directors dan Board of Governors esok, serta ibu bapa pelajar Ahad ini, Insha-Allah.

Share this Story

About hasrizalabduljamil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

www.hasrizal.com | all about learning | © Copyright 2018, All Rights Reserved